Isnin, 17 Oktober 2011

LAYAN ORANG TUA


Layanilah orang tua itu| Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man   
Kalau anda ingin mengenali seseorang itu tua atau muda, anda boleh menilai dari perbualan mereka.
Seandainya orang yang anda temui itu berbicara banyak mengenai perkara-perkara yang lepas dan menceritakan tentang pengalaman hidupnya yang lalu, itu adalah satu tanda orang yang anda sedang bicara itu sudah tua.
Akan tetapi kalau perbicaraannya menceritakan apa yang sedang berlaku atau apa yang akan dilakukan, maka ianya tanda orang yang sedang anda bicara itu muda.
Ini antara petanda usia seseorang.
Memang realiti orang yang lama akan seronok berbicara apa yang telah mereka lalui, memberi gambaran suka dan duka. Seperti kisah-kisah kehidupannya di zaman Jepun, susahnya kehidupan dahulu, dan seronoknya zaman remaja dia, nostalgia harga barang murah, kenakalan zaman remajanya dulu yang tidak seperti kenakalan remaja sekarang dan sebagainya.
Itulah putaran kehidupan, dan kalau anda bertemu dengan orang tua begini, layanlah perbualannya dengan baik, sekali-sekala sampuklah cakapnya, agar dia rasa seronok. Kerana itulah keindahan orang tua.

Begitulah keadaan yang sedang dialami oleh Umno sekarang yang seronok jumpa bekas-bekas polis, tentera dan bekas- bekas pegawai pencen.
Kepada bekas anggota tentera, polis dan pegawai pencen layanlah Umno seadanya. Kerana sebagaimana biasa, hanya menjelang pilihanraya umum bahawa mereka teringat pada anda, dan selepas PRU 13 ini, mungkin Umno sudah tidak jumpa anda lagi.

Seperti biasa, kalau tetiba dia janjikan sesuatu, dengar sajalah… dah 12 kali, takkan tak kenal perangai ini lagi. Jangan bantah nanti dia kecil hati, tetapi pada masa yang sama, anda tidak perlu terlalu percaya janjinya, sebab orang tua kadang- kadang, dia tak ingat apa yang dia janji. Kena ingat itu, ini boleh melindungi anda daripada dikecewakan lagi kerana mempercayai janjinya.
Masa mendengar cerita sembang, ingatlah juga dalam hati waktu dia kuat dan muda dulu, dia tidak menjenguk pun anda. Hanya kini setelah dia rasa kesunyian dan sendirian, maka dia akan datang berbual, ajak makan-makan, sembang cerita lama dan secara halus-halus ingin mengingatkan anda tentang jasanya tapi menutup segala kemungkarannya.
Kalau anda berbual dengan pimpinan Umno sebegini, layanlah dia dengan baik, kerana mungkin ajalnya sudah tidak lama. Kalau anda membantahnya, dia akan kecil hati dan tuduh anda tidak menghormati orang tua.
Kini Umno menghimpunkan generasi lama, barangkali kerana mereka mengganggap jurang mereka dengan generasi muda semakin besar dan generasi muda berinternet tidak mudah menerima ‘cerita reka’ mereka.
Generasi tua ini pula dianggap mereka baik, yang tak berinternet lagilah bagus, lebih-lebih lagi kerana ia sebaya. Tak apalah anda pun dah faham, dia kan dah tua.
Tuan Ibrahim Tuan Man

BERSIH 3.0


Bersih 3.0 jawapan terbaik?| Print |
Ahmad Lutfi Othman   
Memang membazirkan masa, wang ringgit dan tenaga. Namun, apalah pilihan yang ada kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Tumpuan kini terpaksa dikerahkan untuk menyediakan padang permainan sama rata dan peraturan gelanggang yang lebih adil, berbanding persiapan untuk "bertarung" itu sendiri.

Segala kelebihan memihak parti pemerintah yang menguasai kerajaan persekutuan, yang menguasai segala sumber, jentera dan kemudahan, dan dengan itu boleh merencana serta melaksanakan apa juga taktik kotor untuk memintas Pakatan Rakyat.

Ketika kempen penerangan pihak oposisi bertembung pelbagai kesukaran, misalnya pemberian permit, kemudahan lokasi, sabotaj ketika berceramah, dan dinafikan liputan media, pada masa yang sama Umno-BN bukan sahaja terus selesa menguasai saluran televisyen, radio dan akhbar harian, malah mereka turut mengambil alih posisi "pengadil permainan".

Begitulah yang sering berlaku selepas mereka dikejutkan dengan keputusan pilihan raya yang memeranjatkan. Lihatlah operasi jahat selepas PRU 1999, khususnya persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pendaftaran pemilih. Pengalaman kehilangan kuasa, meskipun setakat peringkat negeri, cukup memeritkan Umno.

Pastinya kita belum lupa tragedi di Terengganu sehingga kerajaan PAS ditumbangkan pada 2004. Senarai daftar pemilih cukup meragukan. Ramai yang mengundi lebih daripada sekali dan bertebaran "pengundi hantu". Khabarnya, kini bekas Menteri Besar, Idris Jusoh, terlibat dalam perancangan menawan negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, khususnya Selangor, melalui "kaedah Terengganu" itu.

Ketika rakyat tidak puas hati dan marah dengan sistem demokrasi yang pincang, disusuli dua kali demonstrasi besar-besaran di ibu kota, terbaru 9 Julai lalu,  rupanya ia tidak cukup untuk menyedarkan pemerintah bahawa mereka perlu lebih serius dan jujur melakukan reformasi besar-besaran ke atas proses pilihan raya. Kalau pun ada perubahan, ia sekadar percubaan kosmetik untuk mengelirukan tanggapan umum.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 - bersihkan senarai pengundi, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minimum 21 hari, perkukuh institusi awam, hentikan rasuah dan tamatkan politik kotor - seperti tidak dipedulikan. Macam-macam daleh dijadikan perisai.

Kuasa mewajarkan segalanya buat Umno. Apatah lagi bagi orang seperti Najib Razak dan Noh Omar yang mengetuai Umno Selangor. Khazanah negara dipunggah semahunya untuk bekalan "membeli dan menyogok pengundi" dalam PRU13, tetapi sebelum itu, jalan pintasnya terbentang luas dengan memanipulasi senarai pemilih, terutama di kawasan yang menyaksikan BN kalah tipis. Di Selangor, sasarannya adalah kerusi Dun majoriti Melayu.

Ya, perit sekali menyertai pilihan raya di sebuah negara sedang membangun yang begitu rendah ranking ketiga-tiga indeks penting, iaitu demokrasi, kebebasan akhbar dan rasuah, seperti Malaysia. Usaha Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, untuk membuka ruang demokrasi lebih kondusif wajar dipuji.

"Jika konspirasi Umno bersama SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), dengan kerjasama pihak polis ini tidak dapat kita gagalkan, saya rasa BN dapat tawan balik Selangor. Dan BN pun nampak confident," kata seorang AJK PAS Pusat.

"Daripada kita menunggu sehingga selepas PRU13 untuk sekali lagi berarak di jalan raya, dan mungkin sudah terlambat ketika itu, kerana dibimbangi amarah rakyat sukar dikawal, maka adalah lebih baik kita cetuskan Bersih 3.0 sekarang," saya mencadangkan.

Berdasarkan komen anak-anak muda dalam facebook, saya perhatikan mereka cukup kecewa dengan siri pendedahan tidak berkesudahan tentang skandal Mykad dan juga sindiket pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

"Itu yang baru kita temui, entah macam-macam lagi konspirasi jahat Umno yang belum terdedah, apa ditunggu lagi? Bersih 3.0 jawabnya," tulis seorang bekas pemimpin mahasiswa. "Ya, banyak lagi kaedah yang mereka gunakan, dan sebahagian besarnya mungkin dibenarkan undang-undang. Tengok sajalah begitu ramai yang Umno daftarkan sebagai pengundi baru tahun ini," saya membalasnya.

Anak-anak muda yang tidak berpuas hati itu mereka merujuk berita serbuan Pemuda PAS Pusat yang mengepung 240 pendatang asing, yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih di sebuah resort di kawasan sekitar Putrajaya baru-baru ini. Kegiatan itu dikatakan berjalan rancak sejak akhir September lalu dan dibimbangi  berterusan hingga Disember ini, dengan andaian PRU13 mungkin Februari atau Mac 2012.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor,  Khairuddin Othman dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti wujud pergerakan bas-bas yang membawa pendatang asing - yang didakwanya untuk diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi - yang  dikesan berlaku hampir setiap hari.

"Kita memang ada bukti sahih, kita ada sumber dalaman yang mengesahkan ia melibatkan 10 hingga 15 buah bas. Modus Operandi itu dibuat secara terang-terangan membawa pendatang asing dengan bas," katanya, sambil menambah pendatang berkumpul di beberapa lokasi antaranya Paya Jaras, Hentian Sungai Buloh dan Hentian Serdang. Awal tahun ini PAS Selangor pernah menyerbu dua tempat berasingan dan menemui bukti.

Operasi seumpama itu bukan perkara baru. Ia pernah dilakukan di Sabah, terutama bagi menjatuhkan kerajaan PBS. Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman khabarnya pernah mengesahkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu dikeluarkan di Sabah untuk tujuan pilihan raya.

Amat wajar sekali lagi tekanan ke atas SPR dan pemerintah diteruskan, kempen seluruh negara dipergiatkankan, dan pendedahan disebarluaskan, namun cukupkah sekadar itu? Pemimpin Umno akan bersikap "pekak badak" menunggu PRU13 bagi menjayakan misi mereka.

Harakah turut diasak untuk memainkan peranan lebih proaktif menangani kemelut meruncing ini. "Takkan kita nak biarkan disembelih hidup-hidup begitu saja, seperti berlaku 2004, di Terengganu dan Kedah. Harakah kena fikirkan sesuatu," seorang pembaca mendesak.

Saya dapat menduga jawapan yang dikehendakinya tetapi belum mampu mengungkapkannya lagi ...

Bagaimanapun, seorang lagi pembaca dari Kedah mengingatkan dalam emel, sambil minta saya siarkan dalam kolum ini: "Janganlah kita terlalu sibuk melayan kerja jahat Umno-SPR-JPN sehingga melupakan tugas asasi mendekati rakyat akar umbi. Wakil-wakil rakyat kita mesti turun padang, jangan sombong, usah peraga kehidupan mewah, bantu orang susah yang meminta, ringan tangan berbakti.

"Jangan guna alasan takda peruntukan untuk elak menyantuni orang. Cari dana kebajikan walaupun sedikit. Di negeri Pakatan, mudahkan orang ramai mendapatkan bantuan, termasuk daripada kerajaan pusat. Sekali lagi, jangan ego dan besarkan diri."

II. Tanda tangan Najib dan tender rundingan

Fokus Fikrah kali ini menumpukan isu ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan negara. Di sebalik riuh-rendah tawaran dan insentif one-off dalam belanjawan 2012, isu kegagalan sistem penyampaian perlu diketengahkan. Tidak sedikit projek yang diumumkan bajet terdahulu, sama ada gagal ataupun masih belum dilaksanakan.


Ketirisan dalam projek masih berlaku, terutama semasa pelaksanaan projek RMK10. Masih banyak projek-projek besar masih dikendalikan secara tender rundingan, sekadar contoh Institut Kemahiran MARA,  Institut Kanser Negara (IKN), Istana Negara dan Malaysian Institute of Aviation Technical (MIAT).

Kontroversi pembinaan Istana Negara tidak perlu diulang lagi, dengan kos awal melebihi RM1 bilion, sehingga menyebabkan Ketua Pengarah Kerja Raya Prof Ir Judin Abd Karim tersingkir. Kos IKN berjumlah RM700 juta, manakala MIAT, RM150 juta.

Perdana Menteri, Najib Razak masih lagi dilihat memberi sokongan kepada kontraktor kroni melalui tandatangan beliau dan mengarahkan Kementerian Kewangan memberikan projek kepada kontraktor berkenaan.

Dalam pada itu, ramai juga tidak berpuas hati dengan insentif RM3,000 kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang telah tamat kontrak. Kedua-dua agensi itu berperanan sebagai agen Umno tetapi menggunakan wang rakyat sepenuhnya.

Saya cuba meninjau laman web Jasa, yang diketuai Fuad Hassan. Dalam kenyataannya sebagai Ketua Pengarah, beliau berkata: "Adalah menjadi harapan saya agar seluruh jentera keluarga besar Jasa berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan (baca Umno-BN) melalui gagasan 1Malaysia."

III. Awang Sariyan  dan bahasa supranasional

Ucapan tokoh bahasa, Prof Dr Awang Sariyan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, 11 Oktober lalu menarik perhatian saya. Ketika polemik PPSMI masih cuba ditimbulkan pihak tertentu dan kedudukan bahasa Melayu terus terpinggir di negeri sendiri, penegasan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China ini perlu direnung.


Dalam syarahannya itu, beliau menggariskan enam perancangan berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu. Dr Awang menekankan keperluan peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

"Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali," ujarnya.

Mengenai taraf dan peranan bahasa Melayu, beliau berkata, mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain,  misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman dan  ekonomi (termasuk perdagangan).

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia ini seterusnya mencadangkan penubuhan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran.

Beliau turut menyentuh langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa,  yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya.

Menyinggung peranan penting DBP, beliau mahu kepemimpinannya   terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek.

"Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandai berhemat, tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara," tegasnya, yang juga bekas pegawai kanan DBP.

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI

 Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin. “Kenapa masih bekerja Pak cik?” “Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali. Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya. “Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat. “Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja. “Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra. “Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek. Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah. “Pak Cik gembira dengan kerja ni?” “Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz, sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain. “Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?” “Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.” “Malam pun Pak Cik kerja juga?” “Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.” Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga. “Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil. “Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.” “Apa yang Pak Cik cari semasa mengaji secara dengar-dengar tu?” “Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.” Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi. “Sekarang ni mudah dapat pelanggan?” “Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.” “Kalau pelanggan tidak ada bagaimana?” “Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.” “Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?” “Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.” “Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku. “Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.” “Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.” “Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.” Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!. Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?” Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian. “Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.” “Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya. “Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.” Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?” dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui. Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi. “Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?” “Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.” “Mengapa begitu Pak Cik?” Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata, “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..” Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.” Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya. “Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…


Sumber artikel daripada joyiman

NEGARA BERKEBAJIKAN


Negara Berkebajikan mengikut feqah politik Islam| Print |
Subky Latif   
SEPANJANG pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy dalam PAS banyak yang disarankannya tentang pengisian sebuah negara merdeka Islam mengikut konsep Baldatun Toyibatun Warrabun Ghaffur yang diterjemahkannya sebagai  membentuk negara berkebajikan yang mendapat restu – keredhaan – Allah.
Dalam Muktamar PAS ke 57 awal Jun lalu Presidennya Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyarankan sasarannya dalam muafakat Pakatan Rakyat bagi Membangun Negara Berkebajikan sebagai thema Ucapan Dasarnya.
Sarjana lepasan Oxford yang memimpin Pemuda UMNO mengira saranan negara kebajikan yang PAS hidupkan semula itu telah lari dari pejuangan asalnya bagi mendirikan negara Islam.
Menteri Nazri Aziz mengiranya ia meniru apa yang UMNO/BN laksanakan selama ini. Perdana Menteri Najib mengira ia bukan suatu yang bagi kerajaan dan parti yang diwarisinya, manakala Muhyiddin Yassin pula mengira PAS cuba buat yang sama dengan yang UMNO buat.
Ustaz Haji Hadi berjaya menarik perhatian semua pemimpin Barisan Nasional apabila sekaliannya segera memberi reaksi yang berbagai-bagai mengikut pengajian dan  fahaman mereka.
Sarjana lepas  Oxford ternyata gagal memahami  ajaran Islam tentang kenegaraan dan pemerintahan. Atau cetek pengetahuannya mengenai subjek itu sekali pun dia pernah berkhidmat dengan ISIS, satu istitusi yang menghilang semua pemikiran dan perkembangan dunia.
Tidak sampai pengajian orang di Universiti Oxford bahawa pengisian negara berkebajikan itu adalah antara isi negara Islam. Kalau negara Islam itu ditakuti oleh orang-orang jahil kerana disangka kerjanya adalah untuk memotong tangan pencuri dan merejem penzina tetapi dengan tertegaknya negara kebajikan mengikut feqah politik Islam dapat menambah jelaskan bentuk dan corak negara Islam itu.
Yang takut kepada Islam selama ini mulai melucutkan perasaan itu hingga ramai yang mendaftar diri menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Masyarakat bukan Islam dunia sendiri kian bersungguh menerima konsep makanan halal dan sistem perbankan Islam.
Semuanya itu adalah sebahagian dari pengisian muamalat Islam  dalam cara pemerintahan Islam. Bukanlah Islam itu sekadar solat, jihad, puasa dan menutup aurat bagi wanitanya saja, tetapi dalam negara Islam itu ada konsep negara kebajikannya.
Kalau negara Islam itu menyukarkan orang memahaminya tetapi negara kebajikan itu menyenangkan orang menyukainya. Kafir Quraisy Mekah enggan menerima perdamaian Hudaibiyyah yang dibuat dengan Muhammad Rasulullah tetapi bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Muhammad saja sekali pun isi perjanjian itu sama.
Kalau Islam digeruni oleh kebanyakannya tetapi kebajikan itu disukai oleh semuanya. Dalam pendekatan dakwah, apa saja kaedah yang menarik orang ramai yang tidak bercanggah dengan sunnah Allah dan sunnah RasulNya adalah wajar dan dikehendaki.
Tidak berbangkit kebajikan yang disarankan PAS meniru mana-mana politik dunia kerana kebajikan yang hendak diserlahkan adalah bersandar kepada feqah politik Islam.
Negara berkebajikan yang mendapat restu-keredhaan Allah adalah ajaran al-Quran yang sudah disebutkan oleh Dr. Buhanuddin sejak sebelum negara merdeka dan sebelum bonda dan ayahanda Khairy Jamaluddin kahwin. Demikianlah tuanya konsep negara berkebajikan itu pada PAS.
Tiadalah meniru PAS akan konsep itu dari UMNO kerana kebajikan yang difahami dan diamalkan oleh UMNO ialah mengikut politik dunia dan sekular yang menghalalkan cara sedang kebajikan PAS itu adalah mengikut kehendak feqah politik Islam.
Kalau ulama yang tidak berpijak kepada feqah politik Islam boleh terjerumus dalam UMNO maka apa lagilah yang sekadar mengaji di Oxford dan Cambridge serta yang  sekadar bersekolah atap dan tidak pernah menjejak kaki di tangga sekolah pondok.
Amat dibimbangi ulama yang tidak memahami feqah politik Islam lebih lemah fahamannya tentang politik Islam dari anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mungkin yang layak berdebat dengan ulama UMNO adalah anggota kelab menyokong PAS – bukan ulama PAS.
Tentang perintahan kebajikan yang Ustaz Hadi sarankan itu ialah ‘PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN sehingga mengambil kesempatan mendapatkan hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga  terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga melalui GLC pula mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian peniagaan ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat biasa.’
Sistem kebajikan UMNO membawa kepada duiawi dan rasuah, sistem negara berkebajikan yang PAS mahu bagi membawa pahala dan menjauhkan dosa

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By Blogger Widgets


TUHANKU,AKULAH HAMBA YANG BODOH DALAM ILMU PENGETAHUAN KU INI,MAKA BAGAIMANA TAKKAN BODOH LAGI DALAM HAL-HAL YANG AKU MASIH BODOH LAGI DALAM HAL-HAL YANG AKU MASIH BODOH TIDAK MENGETAHUINYA.

air

TUHANKU, AJARKAN AKU DARI ILMU YANG LANGSUNG DAN MASIH TERSEMBUNYI DIDALAM PERBENDAHARAANMU DAN PELIHARALAH AKU DENGAN RAHSIA NAMAMU YANG TERPELIHARA.
TUHANKU, KELUARKANLAH AKU DARI KERENDAHAN DIRIKU(nafsuku)DAN BERSIHKAN AKU DARI KERAGUAN DAN SYIRIK SEBELUM MASUK KE LUBANG KUBURKU,BEBASKAN DIRIKU DARI TAWANAN HAWA NAFSUKU SERTA BERIKAN DAKU KEYAKINAN YANG DAPAT MENGHILANGKAN SEGALA RAGU DAN KESYIRIKKAN.
TUHANKU,BAGAIMANA AKAN DIHARAPKAN SESUATU SELAIN ENGKAU,PADAHAL ENGKAU TIDAK PERNAH MERUBAH KEBIASAAN PERTOLONGAN DAN KEBAIKKANMU DAN BAGAIMANA AKAN DIMINTA SELAIN DARI ENGKAU SEDANGKAN ENGKAU TIDAK PERNAH MERUBAH KEBIASAAN MEMBERI KURNIA.
TUHANKU,HARAPAN KU TIDAK PERNAH PUTUS DARIMU MESKI PUN AKU TELAH BERBUAT DOSA MAKSIAT, DEMIKIAN PULA RASA TAKUT KU PADAMU TIDAK HILANG MESKIPUN AKU TELAH TAAT DAN PATUH PADAMU.
TUHANKU,ENGKAULAH TUHAN YANG TIDAK ADA TUHAN KECUALI ENGKAU.


Hadits shahih, riwayat Abu Dawud no.2118, an-Nasa-I III/104-105, ad-Darimi II/142, Ahmad I/392-393, 432, ‘Abdurrazzaq no. 10449, ath-Thayalisi no. 338, al-Hakim II/182-183, al-Baihaqi VII/146 dari Sahabat ‘Abdullah bin Mas’ud Radiyallahuanhu. (Lihat Kutaib Khuthbatul Haajah oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani Rahimullah).

Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Rasulullah Shallallah alaihi wa sallam, sejelek-jelek perkara adalah yang diada-adakan, setiap yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka.
Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang-orang di sekelilingmu tersenyum.
Jalanilah hidupmu sehingga pada waktu kamu meninggal, kamu tersenyum dan orang-orang di sekelilingmu menangis.
Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar dilautan telah ramai kapal karam didalamnya..andai muatan kita adalah iman,dan layarnya takwa,nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
Dari Hatim Al-Asom yang bermaksud:
Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
1. Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang tua-tua.
2. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana.
3. Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang-orang sakit.
4. Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.
http://1.bp.blogspot.com/_vW1GG83Zr1U/SfXxhEwt2cI/AAAAAAAACjc/zNWg4-Bw5U4/s400/qaradawi.jpg
"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qardhawi
Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com
Search in the Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com
atau,
Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com
10. Widget Pencarian ayat dan hadits Kodenya:
Search in Quran and Hadith

2 Pictures, Images and Photos
KLIK MONITOR UNTUK TV LIVE

 

Powered by BannerFans.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Image by FlamingText.com
Image by FlamingText.com > Apabila manusia memuliakanmu kerana harta dan kuasa, maka janganlah engkau berbangga kerana kemuliaan tadi akan hilang apabila hilang kedua-duanya. Akan tetapi hendaklah hendaklah engkau berbangga sekiranya manusia memuliakan mu kerana agama atau tingkah laku mu yang baik.

عن أبي جعفر عليه السلام قال: الصلاة عمود الدين، مثلها كمثل عمود الفسطاط إذا ثبت العمود ثبتت الاوتاد والاطناب، وإذا مال العمود وانكسر لم يثبت وتد ولا طنب.


Dari Abi Ja’far as berkata:


“Shalat adalah tiang agama, perumpamaannya seperti tiang kemah, bila tiangnya kokoh maka paku dan talinya akan kokoh, dan bila tiangnya miring dan patah maka paku dan talinya pun tidak akan tegak.”

قال النبي صلى الله عليه واله: علم الإسلام الصلاة فمن فرغ لها قلبه وحافظ عليها بحدها ووقتها وسننها فهو مؤمن.

“Bendera Islam adalah shalat, maka barangsiapa memberikan hatinya untuknya dan menjaganya dengan batasan dan waktunya serta sunah-sunnahnya maka ia adalah seorang mukmin (hakiki).”

قال النبي صلى الله عليه واله: موضع الصلاة من الدين كموضع الرأس من الجسد.

Rasulullah saw bersabda:

“Kedudukan shalat dari agama adalah seperti kedudukan kepala dari badan.”